Friday, July 04, 2008

Fabrikasi [01] : Mengungkap Hadirnya Rasul

Untuk apa seorang Rasul diutus? Mengapa Muhammad itu bersungguh-sungguh untuk menebarkan seruannya dan dia degil serta tidak mahu mendengar bantahan manusia lain? Dan mengapakah dia bertahan dalam tantangan yang menggerikan malah bisa mengorbankan nyawanya? Lalu apakah dia sanggup melihat Sumayyah dan keluarga Amar bin Yasir dihabisi dan seluruh pengikutnya disiksa sehingga ada yang menemui maut? Dan apa yang dia perjuangkan walau di pulau selama 3 tahun sehingga keluarganya tiada makanan melainkan menjamah akar kayu?

Kita tidak akan mengerti semangat kental ini dan dasar pijakan beliau kalau tidak melihat jauh ke belakang - historis sebelum itu lagi.

Sebuah pertanyaan harus dilontarkan kepada Nuh as: Mengapa dia hadir sebagai Rasul pertama di tengah manusia selepas 10 kurun jarak kewafatan Nabi Adam as [Abdullah Ibnu Abbas: "Jarak di antara nabi Adam dan nabi Nuh A.S ialah sepuluh kurun". (Tafsir Ibn Katsir)] - apakah kerana kekejian sedang melanda manusia? Atau ketika itu hudud sudah terlupakan hingga manusia membikin hukum pidana baharu? Atau kerana ketika itu kebejatan moral sudah sirna, kebobrokan adalah kebaikan dan kebaikan dipandang kejelekan?

Justeru untuk apa hadirnya seorang Rasul di kalangan manusia?

Sesungguhnya seorang rasul itu telah Allah wahyukan kepadanya untuk menegakkan kalimah tauhid dan menghapuskan segala kesyirikan. Kemudian Allah mengkehendaki segala umat manusia ini menjalankan kepatuhan dan ketundukan serta ketaatan yang telah dia tetapkan, bukan yang direkaryasa. Allah Mahu Dia menjadi Rabb dan Ilah yang Tunggal serta Dia mahu di Ibadahi dengan tatacara yang Dia kehendaki. Inilah fungsi utama sang rasul.

Kemudian setelah manusia itu mengerti akan 2 hal di atas, maka mereka akan memperbaiki segala lapangan kehidupan mereka; mereka akan berakhlaq mulia, menjalankan hukum Allah, meninggikankan ekonomi ummah, menyebarkan da'wah, berjihad dan bersedeqah, meninggikan ilmu dan menyebarkan pengetahuan. Semuanya ini akan lahir dari buah Aqidah.

Ketika kaum Nuh berseru: "Jangan sesekali kamu meninggalkan [penyembahan] tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sesekali kamu meninggalkan Wadd, dan jangan pula Suwaa', Yaghuts, Ya'uq dan Nasr". [Nuh : 23]

Lalu Allah bercerita kepada Muhammad dan sahabat beliau: Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya [dengan memerintahkan]; "Berilah kaummu peringatan sebelum datang kepadanya azab yang pedih". Nuh berkata [kepada kaumnya]; "Hai kaumku, sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang menjelaskan kepada kamu, iaitu sembahlah Allah, bertaqwalah kepada-Nya dan taatlah kepadaku, nescaya Allah akan mengampuni sebahagian dosa-dosa kamu dan menagguhkan kamu [memanjangkan umur] sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya ketetapan Allah apa bila telah datang tiadak dapat ditangguhkan, kalau kamu mengerti" [Nuh : 1-4]

"Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya, lalu ia berkata; 'Wahai kaumku, ibadahilah Allah, sekali-kali tidak ada Ilah yang haq bagimu selain Dia". [Al A'raf : 59]

Siapa Wadd, Suwaa', Yaghuts, Ya'uq dan Nasr yang kaum Nuh puja itu? Ibn Abbas berkata bahawa mereka adalah para ulama sebelum itu, ketika mereka telah wafar maka syaitan membisikkan kepada mereka untuk membikin gambar dan patung bagi memperingati ulama tersebut. Maka setelah masa berlalu maka syaitan datang kembali dan menyatakan bahawa tujuan nenek moyang mereka membikin gambar dan patung itu hanyalah untuk diibadahi, iaitu dijadikan wasilah [perantaran] dengan Allah kerna 5 ulama ini adalah orang yang beriman dan hampir kepada Allah. Maka ketika itulah amal ibadah dan keyakinan menjadi batil.

Itulah dia dasar seruan Nuh kepada kaumnya; iaitu mengajak kaumnya untuk beraqidah yang shahih kepada Allah, ikhlaskan aqidah serta menyerahkan diri mereka kepada Allah, kemudian menuruti perintah Nuh dan jangan melawan Nuh. Dia - Nuh - tidak diturunkan kerana kejahatan mewabak kerna sebelum itu lagi telah berlaku kema'siatan dan pembunuha. Apakah kita telah lupa bahawa anak Nabi Adam telah membunuh dan melakukan makar dalam memberi pengorbanan kepada Allah? Tetapi Allah tidak menurunkan seorang Rasul untuk kema'siatan. Dan Allah menurunkan Nuh apabila manusia telah melakukan kesyirikan dan penyelewengan ibadah.

Maka begitu pula ketika wafatnya Isa as dan setelah sahabat beliau juga wafat, maka Islam terkontaminasi dengan penyelewengan sehingga rupa Islam itu berbeda dan menjadi sesuatu yang baharu, sehingga kalau Nabi Isa melihatnya, beliau sendiri tidak mengenalnya. Maka ketika kesyirikan berlaku dan penambahan ibadah terjadi, Allah turunkan pula Muhammad bin Abdullah. Justeru hadirnya Rasulullah adalah dalam rangka kerja meneruskan kerja para Rasul sebelum itu;

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada setiap umat [untuk menyerukan] "sembahlah Allah dan jauhi Thaghut itu". [An Nahl : 36].

"Dan Kami tidak mengutus seorang Rasulpun sebelum mu, melainkan Kami wahyukan kepadanya 'Bahawasanya tidak ada Ilah (yang haq) melainkan Aku, maka ibadahilah olehmu sekelian akan Aku". [Al Anbiya: 25]

"Dan kepada kaum 'Aad saudara mereka, Hud. Dia berkata: 'Hai kaumku, ibadahilah Allah, sesekali tidak ada Ilah yang patut diibadahi bagimu selain Dia". [Al A'raf : 65]

"Dan kepada kaum Tsamud saudara mereka, Shalih. Dia berkata: 'Wai kaumku, ibadahilah Allah, sesekali tidak ada Ilah yang haq bagimu selain Dia". [Al A'raf : 73]

"Dan kepada penduduk Madyan saudara mereka, Syu'aib. Dia berkata; ' kaumku, ibadahilah Allah, sesekali tidak ada Ilah yang haq bagimu selain Dia". [Al A'raf : 85]

Maka Muhammad pun diangkat menjadi rasul dan meneruskan kalimah tauhid dan mengajar manusia bagaimana cara mengibadahi Tuhan mereka. Pertamanya manusia diajarkan untuk menunggalkan dalam pengibadatan, iaitu hanya kepada Allah. Kemudian manusia ditunjukkan pula cara ibadah yang sepatutnya mereka lakukan setelah mereka dituntut untuk mengesakan pengibadahan tadi.

Sesungguhnya amal ibadah kaumnya Nuh dan kaumnya Isa menjadi batil lantaran adanya penokok-tambahan yang didasari dengan niat baik dan meraik keredhaan Allah. Dan kerana itu juga diutus seorang Rasul untuk meluruskan hal yang telah menyimpang tersebut.

Bukankah telah ada manusia berdoa kepada Allah sebelum rasul diutus? Bukan kah telah ada manusia berkorban sebelum nabi diangkat? Bukankah telah ada manusia berhaji sebelum nabi berda'wah? Lalu mengapa nabi ajarkan lagi cara berdoa, cara berkorban dan cara berhaji?

Lalu kalau lah setelah nabi menunjukkan cara beribadah yang benar, dan setelah beliau wafat, begitu juga setelah sahabat baginda tiada, maka kita melakukan perobahan dalam tatakrama ibadah itu, yang kita dasari atas kepahaman terhadap ayat-ayat Al quran dan Hadith yang bersifat umum, maka bukankah itu berupa cari bentuk penafian fungsi penurunan Rasul, dan sebagai satu pelecehan atas kebijasanaan Allah diatas pengutusan Muhammad saw.


Maka apakah mungkin bagi seorang Muslim untuk tidak mahu meluruskan aqidahnya supaya mereka hanya mengimani sesuatu yang haq dan menumpaskan kebatilan dan kesyirikan. Dan apakah manusia Muslim itu masih mahu membikin fabrikasi alias penambahan dan pengurangan dalam amal ibadah mereka, sehingga mereka itu tidak mentaati Rasul. Sehingga amal ibadah mereka itu bisa mereka bikin dan tidak mahu mengikut persis apa yang Rasul perbuatkan.

Malah manusia yang menokok tambah dalam ibadah atas seputas niat baik dan ikhlas, bererti mereka telah melawan Allah dan Rasul-Nya.

Bukan kah Allah hadirkan Nabi Muhammad untuk mengajarkan kita aqidah dan ibadah; kalau tidak, mengapa Rasul perlu bersusah memerangi manusia sehingga banyak nyawa berguguran?

Kerana itu, segala persoalan ini harus kita renungkan dengan saksama.

No comments: