Wednesday, July 09, 2008

Albani Dan Kaedah Ilmiyah As Saqqaf

Tuan-tuan, marilah kita lihat bagaimana Zamihan dan gurunya Hasan Ali As Saqqaf yang kononnya mengaku sebagai Ahlus Sunnah membantah Wahabi. Saya bawakan artikel ini sebagai salah satu bukti bahawa kaum penentang Salafi hingga kini masih tidak dapat membawakan satu hujjah yang ilmiyah, seperti yang telah saya gariskan sebelum ini.
Hasan Ibn ‘Ali As-Saqqaf, seorang rakyat Jordan yang mendakwa berasal dari keturunan ‘Ali Ibn Abi Talib radhiallahu ‘anhum. Selain daripada bidang kajian hadith, beliau juga banyak mengkritk Al-Albani dalam bidang akidah melalui beberapa karyanya seperti At-Tandid Liman ‘Addada At-Tauhid dan Daf’ Shubah At-Tasybih. Segala kritikannya terhadap Al-Albani dan pengkhianatannya terhadap agama telah dijawab oleh para ilmuan timur tengah dalam karya-karya jawapan mereka, antaranya:

1. Al-Kasyf ‘An Dalalat As-Saqqaf oleh Nasir Al-’Ulwan.
2. Ithaf Ahl Al-Fadl Wa Al-Insaf Fi Naqd Daf’ Shubah At-Tasybih oleh Nasir Al-’Ulwan.
3. Al-Anwar Al-Kasyifah Li Tanaqudat Al-Kasysyaf Az-Zaifah oleh ‘Ali Al-Halabi.
4. Al-Iqaf ‘Ala Abatil Qamus Syataim As-Saqqaf oleh ‘Ali Al-Halabi.
5. Al-Ithaf Bi ‘Aqidah Sheikh Al-Islam Wa At-Tahzir Min Jahmiyyah As-Saqqaf oleh ‘Abd Al-Karim Al-Hamid.
6. Iftiraat As-Saqqaf Al-Athim ‘Ala Al-Albani Sheikh Al-Muhaddithin oleh Khalid Al-Anbari.
7. Ar-Radd ‘Ala At-Tandid Liman ‘Addada At-Tauhid oleh ‘Abd Al-Muhsin Al-’Abbad.
8. As-Sawaiq Wa Asy-Syuhub Al-Marmiyyah ‘Ala Dalalat Wa Inhirafat As-Saqqaf Al-Bid’iyyah oleh Abu Wad’ah Al-Athari.


Maka, baik kiranya kita melihat kepada muridnya Zamihan Al Ghari yang membantah Wahabi secara “ILMIYAH” dalam bukunya Salafiyah Wahabiyah : Satu Penilaian.


Di bawah berupa petikan yang saya ambil dari tulisan Hafiz Firdaus, Pembongkaran Jenayah Ilmiyah Salafiyah Wahabiayah:



Ketika mentohmah Al-Albani sebagai tokoh kontradik dalam kajian hadith, Al-Ghari langsung tidak membawa sebarang contoh bagi membuktikan tohmahannya itu, sebaliknya dia sekadar menyebut nama-nama individu yang pernah mengkritik kajian Al-Albani dalam kitab masing-masing, termasuklah nama gurunya As-Saqqaf. Sebenarnya, Al-Ghari tidak mampu membuat kritikan secara ilmiah terhadap kajian hadith yang dibuat oleh Al-Albani kerana beliau terlalu jahil dalam bidang berkenaan. Hakikat kejahilan beliau telah terbukti berulang kali dalam contoh-contoh yang telah dibincangkan sebelum ini. Di sebabkan kejahilan itu, beliau bergantung sepenuhnya kepada tulisan para pengkritik Al-Albani dan mengikut secara buta segala kritikan itu tanpa ada sebarang kemampuan untuk menilai kekuatan dan kelemahan kritikan tersebut, lebih-lebih lagi bila dia mendapati segala kritikan itu bersesuaian dengan nafsu jahat yang menguasai dirinya.
Berdasarkan tinjauan penulis terhadap kritikan yang dibuat oleh para pengkritik Al-Albani, didapati kritikan tersebut terbahagi kepada dua bentuk:bentuk:

Bentuk Pertama:

Kesilapan yang tidak disengajakan, dan yang diperbetulkan segera oleh beliau setelah menyedarinya, sama ada melalui semakan sendiri atau pun melalui maklum balas daripada murid-murid dan para pembaca kitabnya. Pembetulan itu biasanya dibuat sama ada dalam edisi cetakan baru kitab berkenaan atau dalam mana-mana muqaddimah kitabnya yang hendak diterbitkan. Kesilapan jenis ini tidak seharusnya dilihat dari sudut negatif, sebaliknya ia perlu dilihat dari sudut positif sebagai tabiat semula jadi manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, lebih-lebih lagi jika kesilapan itu segera diperbetulkan sebaik sahaja ia disedari. Dalam konteks ini Al-Albani berkata (maksudnya):

“Membetulkan kesilapan adalah satu kewajipan, dan ia telah menjadi amalan biasaku seperti yang diketahui oleh para pembaca kitabku…”

Dalam kitabnya yang lain beliau berkata (maksudnya):

“Dan kadangkala aku mengubah penilaianku ke atas hadith yang telah lalu dengan satu penilaian lain setelah ternyata kepadaku ia adalah lebih tepat dan lebih rajah (kuat) …dan ini meskipun jarang berlaku, namun aku merasa perlu menyebutnya kerana dua sebab: Pertama, supaya tidak disalah anggap bahawa perubahan itu adalah kesilapan cetakan. Kedua, supaya diketahui oleh orang yang dikehendaki Allah untuk mengetahui, bahawa ilmu itu tidak menerima kejumudan, bahkan ia sentiasa berkembang daripada salah kepada betul, daripada sahih kepada lebih sahih dan seterusnya, dan juga supaya mereka mengetahui bahawa kami tidak degil mempertahankan kesilapan jika ia telah terbukti kepada kami”

Bentuk Kedua:

Sesuatu fakta atau pendapat yang didakwa secara khianat oleh seseorang pengkritik sebagai suatu kesalahan, sedangkan pada hakikatnya ia adalah suatu kebenaran konkrit yang menepati pengkaedahan ilmu hadith itu sendiri. Orang yang dilihat paling banyak membuat kritikan jenis ini ialah As-Saqqaf
guru Al-Ghari sendiri, melalui kitabnya Tanaqudat Al-Albani Al-Wadihat. Untuk membuktikan kedurjanaan As-Saqqaf, diperturunkan di sini tiga contoh:

Contoh Pertama:

As-Saqqaf mendakwa Al-Albani telah melakukan kesilapan kerana membuat penilaian yang bercanggah ke atas hadith riwayat Aisyah radhiallahu ‘anha yang bermaksud: “Sesiapa yang memberitahu kamu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah kencing berdiri, maka janganlah kamu mempercayainya, Baginda tidak kencing melainkan sambil duduk” [At-Tarmizi, Muhammad Ibn Isa Ibn Saurah, Sunan At-Tarmizi, Dar Al-Hadith, Kaherah, Mesir, t.th, No: 12, An-Nasai, Ahmad Ibn Syu’aib, Sunan An-Nasai, Matba’ah Mustafa Al-Halabi, Kaherah, Mesir, 1964, No: 29, Ibn Majah, Muhammad Ibn Yazid, Sunan Ibn Majah, Dar Ihya’ Al-Kutub Al-’Arabiyyah, Kaherah, Mesir, t.th, No: 307 dan At-Tayalisi, Sulaiman Ibn Daud, Musnad At-Tayalisi, Matba’ah An-Nazzamiyyah, Haidar Abad, India, 1321H, No: 1515.].

As-Saqqaf mendakwa Al-Albani sebagai kontradik kerana kononnya telah menilai dhaif hadith ini dalam Misykat Al-Masabih
[At-Tabrizi, Muhammad Ibn ‘Abdillah, Misykat Al-Masabih, Tahqiq: Muhammad Nasir Ad-Din Al-Albani, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, Lubnan, 1405H, 1: 117], tetapi menilainya semula sebagai sahih dalam Silsilah As-Sahihah [Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, Lubnan, 1985, 1: 346. Lihat: As-Saqqaf, Hasan Ibn ‘Ali, Tanaqudat Al-Albani Al-Wadihat Fi Ma Waqa’a lahu Fi Tashih Al-Ahadith Wa Tad’ifiha Min Akhta’ Wa Ghalata’, Dar Imam An-Nawawi, Amman, Jordan, 1992, 1: 40]. Kritikan As-saqqaf itu dilihat sebagai bertujuan jahat kerana:

Buku Silsilah As-Sahihah diterbitkan hanya beberapa bulan selepas terbitnya buku Misykat Al-Masabih, manakala buku Tanaqudat As-Saqqaf itu pula diterbitkan tujuh tahun selepas terbitnya kedua-dua buku Al-Albani tersebut. Maka jika As-Saqqaf benar-benar jujur, dia seharusnya mengambil kira penjelasan yang dibuat oleh Al-Albani dalam bukunya yang terkemudian (Silsilah As-Sahihah) dan bukan yang terdahulu (Misykat Al-Masabih). Ini kerana pengkaedahan ilmu hadith telah menetapkan bahawa jika berlaku percanggahan pendapat daripada seorang ulama hadith yang sama, maka pendapatnya yang terkemudian dikira membatalkan pendapatnya yang terdahulu.

Dalam bukunya Silsilah As-Sahihah, Al-Albani telah mengakui kesilapannya dalam buku yang terdahulu dan beliau telah menjelaskan secara terperinci bahawa kesilapan tersebut adalah disebabkan oleh dua perkara: Pertama, kerana beliau terikut-ikut dengan pendapat ulama terdahulu, seperti At-Tarmizi, Al-’Iraqi dan As-Suyuti yang menilai hadith berkenaan sebagai dhaif [As-Suyuti, ‘Abd Ar-Rahman Ibn Abi Bakr, Zahr Az-Zuba ‘Ala Al-Mujtaba, Matba’ah Mustafa Al-Halabi, Kaherah, Mesir, 1964, 1: 27]. Kedua, kerana beliau tidak sempat melakukan istiqsa’ (pengumpulan riwayat secara menyeluruh), disebabkan kelemahan logistic ekoran keadaan beliau yang sentiasa bermusafir pada masa itu.

Hakikat bahawa seseorang tokoh ulama berpegang dengan suatu pendapat pada suatu ketika dan kemudian menukar pendapatnya itu pada ketika yang lain dengan disertai pengakuan dan penjelasan terhadap faktor-faktor perubahan tersebut merupakan fenomena biasa yang sering berlaku terutama bagi mereka yang banyak berkarya.


Fenomena seumpama inilah yang menimbulkan istilah qaul qadim (pendapat lama) dan qaul jadid (pendapat baru) bagi Asy-Syafi’ie rahimahullah, dan fenomena inilah juga yang banyak berlaku pada pendapat Az-Zahabi rahimahullah dalam kitabnya Al-Kasyif dan Al-Mughni. Demikian juga Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani rahimahullah banyak menukar pendapatnya dalam At-Taqrib, Talkhis Al-Habir dan Fath Al-Bari disebabkan perubahan tahap kajian beliau dalam sesebuah kitab dengan sebuah kitabnya yang lain.


Meskipun pendapat yang terdahulu tetap dilihat sebagai satu kesilapan, namun dari kaca mata Islam pengakuan dan kejujuran dalam membaiki kesilapan yang tidak disengajakan adalah suatu sifat terpuji, lebih-lebih lagi jika ia dibuat hasil daripada penyemakan sendiri dan bukannya datang daripada mana-mana pengkritik. Justeru dalam konteks ini, Al-Albani sebenarnya telah melakukan kerja-kerja ilmiah yang terpuji lagi jujur.

Dari sudut yang lain, dengan pembetulan itu Al-Albani telah menyelamatkan sebuah hadith yang telah pun dinilai dhaif oleh tiga tokoh ulama hadith berwibawa iaitu At-Tarmizi, Al-’Iraqi dan As-Suyuti rahimahumullah. Seandainya hadith itu dikaji oleh pengkaji biasa, nes’aya dia akan berpada dengan kesepakatan penilaian tiga tokoh berkenaan. Akan tetapi Al-Albani tidak membenarkan dirinya berbuat demikian setelah dia menjumpai sanad yang tidak dijumpai oleh ketiga-tiga tokoh tersebut. Fenomena ini memberi banyak pengajaran kepada kita, antaranya, bahawa seseorang ulama hadith walau setinggi mana ilmunya tidak semestinya mengetahui semua sanad hadith yang dikajinya, hal yang mana memberi peluang kepada generasi ulama selepasnya untuk memperbaiki dan menampung kekurangan tersebut.


Contoh Kedua:


As-Saqqaf mendakwa Al-Albani telah melakukan kesilapan kerana membuat penilaian yang bercanggah ke atas hadith riwayat Abu Sa’id Al-Khudri radhiallahu 'anh yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan menjadi ikutan manusia dan sesungguhnya para kaum lelaki akan datang kepada kamu dari pelbagai pelusuk bumi untuk mendalami agama, maka, apabila mereka datang ajarlah kepada mereka kebaikan
[ At-Tarmizi, Muhammad Ibn Isa Ibn Saurah, Sunan At-Tarmizi, Dar Al-Kutub Al-’Ilmiyyah, Beirut, Lubnan, 1987, No: 2650]

Sama seperti contoh pertama, As-Saqqaf menuduh Al-Albani sebagai kontradik kerana menilai dhaif hadith ini dalam Misykat Al-Masabih [At-Tabrizi, Muhammad Ibn ‘Abd Allah, Misykat Al-Masabih, Tahqiq: Muhammad Nasir Ad-Din Al-Albani, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, Lubnan, 1405H, 1: 75], tetapi menilainya sahih dalam Silsilah As-Sahihah [Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, Lubnan, 1985, 1: 503. Lihat: As-Saqqaf, Hasan Ibn ‘Ali, Tanaqudat Al-Albani Al-Wadihat Fi Ma Waqa’a lahu Fi Tashih Al-Ahadith Wa Tad’ifiha Min Akhta’ Wa Ghalata’, Dar Imam An-Nawawi, Amman, Jordan, 1992, 1: 60]. Akan tetapi dakwaan ini juga dilihat sebagai bertujuan jahat kerana percanggahan hukum itu berlaku bukan kerana kesilapan, tetapi disebabkan perbezaan riwayat.


Al-Albani menilai dhaif hadith ini dalam Misykat Al-Masabih kerana ia berdasarkan kepada sanad (rantaian perawi) yang terdapat di dalamnya seorang perawi yang terlalu dhaif dikenali dengan kuniyah Abu Harun Al-’Abd [‘Imarah Ibn Juwain, terkenal dengan kuniyahnya, bermazhab syiah, dari tabaqah tabi’en yang keempat, meninggal pada tahun 134H. Sebahagian ulama Al-Jarh Wa At-Ta’dil menilainya sebagai matruk, manakala sebahagian yang lain melihatnya sebagai ‘pemalsu hadith’. Lihat: Az-Zahabi, Muhammad Ibn Muhammad Ibn ‘Uthman, Mizan Al-I’tidal Fi Naqd Ar-Rijal, Tahqiq: ‘Ali Muhammad Al-Bajawi dan Fathiyyah ‘Ali Al-Bajawi, Dar Al-Fikr Al-’Arabi, Beirut, Lubnan, t.th, 4; 93, No: 6018 dan Ibn Hajar Al-’Asqalani, Ahmad Ibn ‘Ali Ibn Hajar, Taqrib At-Tahzib, Tahqiq: Muhammad ‘Awwamah, Dar Ar-Rasyid, Halab, Syria, 1986, Hal: 408, No: 4840.].
Manakala penilaian sahih yang dibuat oleh Al-Albani dalam Silsilah As-Sahihah pula berdasarkan sanad lain, sama ada dalam bentuk mutaba’at seperti riwayat Abu Nadrah, Syahr Ibn Hausyab dan Abu Khalid Al-Asadi daripada Abu Sa’id Al-Khudri, atau pun dalam bentuk asy-syawahid seperti riwayat Abu Hurairah dan Abu Ad-Darda’ radhiallahu ‘anhuma.
Dengan perkataan lain, penilaian dhaif itu berdasarkan sanad yang dhaif, manakala penilaian sahih itu pula berdasarkan sanad lain yang sahih. Hakikat perbezaan ini tidak sukar difahami oleh orang yang mempelajari sedikit sebanyak ilmu hadith. Justeru tuduhan As-Saqqaf itu dilihat sebagai bertujuan jahat kerana jika dia telah mempelajari selok belok ilmu hadith dia tentu memahami perbezaan tersebut.

Contoh Ketiga:


As-Saqqaf mendakwa Al-Albani telah melakukan penipuan kerana mengatakan terdapat perbezaan antara matan riwayat Al-Bukhari dan Abu Daud dalam periwayatan sebuah hadith riwayat Abu Bakrah radhiallahu ‘anh. Matan riwayat Al-Bukhari adalah seperti berikut:
أنه انتهى إلى النبي صلى الله عليه وسلم وهو راكع فركع قبل أن يصل إلى الصف فذكر ذلك للنبي صلى الله عليه وسلم فقال: زادك الله حرصا ولا تعد.
Maksudnya: Bahawa dia (Abu Bakrah radhiallahu ‘anh) sampai (ke Masjid) dalam keadaan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang rukuk, lalu dia turut sama rukuk sebelum sampai ke dalam saf. Bila hal itu diberitahu kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda berkata: “Semoga Allah menambahkan semangat kesungguhan kamu itu, tetapi janganlah kamu ulanginya
[Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari (bersama Fath Al-Bari), Dar Al-Matba’ah As-Salafiyyah, Kaherah, Mesir, 1407H, 2: 267, No: 783]


Manakala matan riwayat Abu Daud pula adalah seperti berikut:
فلما قضى النبي صلى الله عليه وسلم صلاته قال: أيكم الذي ركع دون الصف ثم مشى إلى الصف؟ فقال أبو بكرة: أنا، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: زادك الله حرصا ولا تعد.
Maksudnya: Setelah selesai solat, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Siapakah yang rukuk di luar saf kemudian berjalan menuju ke dalam saf?” Abu Bakrah menjawab: “Saya”. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata: “Semoga Allah menambahkan semangat kesungguhan kamu itu, tetapi janganlah kamu ulanginya
[Abu Daud, Sulaiman Ibn Al-Ash’ath, Sunan Abi Daud, Dar Al-Hadith, Beirut, Lubnan, 1969, 1: 441, No: 684]


Perbandingan di atas jelas menunjukkan bahawa matan riwayat Abu Daud (yang bergaris) berbeza dengan matan riwayat Al-Bukhari, sedangkan disiplin ilmu hadith menuntut supaya perbezaan seumpama itu dijelaskan oleh para pengkaji, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kesimpulan hukum fiqh. Isyarat terhadap perbezaan itu juga turut dilakukan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah dalam Fath Al-Bari. Justeru jika apa yang dilakukan oleh Al-Albani hanyalah sekadar mematuhi disiplin ilmu hadith seperti yang digariskan oleh para ulama terdahulu, maka kenapakah tindakan beliau itu dianggap sebagai satu kesalahan oleh As-Saqqaf? Ini tidak lain menunjukkan perbuatan As-Saqqaf tersebut memiliki agenda jahat di sebaliknya.

Demikian sekadar tiga contoh bagi membukti permainan kotor dan niat jahat As-Saqqaf terhadap Al-Albani. Terhadap tindakan As-Saqqaf, Al-Albani rahimahullah memberi maklumbalas seperti berikut:


“Kitab Tanaqudat (karya As-Saqqaf) tidak mengandungi sebarang nilai ilmiah yang perlu disebut, kerana jika dakwaan pengarangnya itu betul dalam beberapa masalah, maka yang demikian itu hanya sekadar mengesahkan bahawa Al-Albani adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan sepertimana orang lain. Maka tidak ada faedah menjelaskan perkara tersebut lebih-lebih lagi jika Al-Albani sendiri akan mengisytiharkan kesilapan itu pada munasabah tertentu…
[Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah]


Demikianlah tiga daripada 652 kritikan As-Saqqaf terhadap Al-Albani yang terdapat dalam bukunya Tanaqudat. Dalam Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 10, Al-Ghari cuba membesarkan angka bilangan hadith yang dikritik oleh gurunya itu dengan mendakwa jumlahnya sehingga 7800 buah (mengatasi bilangan hadith Sahih Al-Bukhari yang dihitung secara berulang). Kita tidak tahu dari mana dia dapat angka berkenaan, apakah dari ‘ilmu pembohongan’ atau dari manuskrip karya gurunya yang belum diterbitkan, wa Allahua’lam.


Namun walau sebanyak mana dakwaan kesilapan yang beliau senaraikan, ia tidak memberi sebarang faedah kerana contoh-contoh pengkhianatan di atas jelas membuktikan niat jahat As-Saqqaf di sebalik kritikannya itu. Lebih–lebih lagi kajian yang dibuat oleh seorang pengkaji bernama ‘Abd Al-Basit Ibn Yusuf Al-Gharib terhadap keseluruhan kritikan itu membuktikan bahawa kesemuanya adalah penipuan semata-mata. Ini kerana apa yang disebut sebagai percanggahan itu tidak lebih daripada ralat atau pembetulan yang telah diperbetulkan oleh Al-Albani sendiri [‘Abd Al-Basit Ibn Yusuf Al-Gharib, At-Tanbihat Al-Malihah (Edisi terjemahan: Koreksi Ulang Sheikh Albani), Diterjemah oleh Abdul Munawwir, Pustaka Azam, Jakarta, Indonesia, 2003, Hal: 16]


Saya (Hafiz Firdaus) rasa terpanggil untuk membuat ulasan yang agak panjang berkenaan pengkhianatan As-Saqqaf terhadap Al-Albani kerana:


I. Kritikan itu berkaitan dengan hadith Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjadi sumber syariat Islam kedua selain daripada Al-Quran. Justeru sebarang pengkhianatan terhadap sumber tersebut bermakna pengkhianatan terhadap Islam dan Rasulullah, sedangkan pengkhianatan terhadap kedua-duanya pula bererti pengkhianatan terhadap Yang menurunkan ajaran Islam dan Yang mengutuskan Rasul tersebut, iaitu Allah Subhanahu wa Ta'ala.


II. As-Saqqaf sengaja menyebarkan kritikannya terhadap Al-Albani untuk meruntuhkan kredibiliti tokoh berkenaan, dengan harapan supaya umat Islam tidak lagi merujuk kepada hasil-hasil kajian Al-Albani. Sebabnya, dia tahu banyak hasil kajian Al-Albani berlawanan dengan pegangan dan ideologinya. Oleh kerana kebanyakan daripada masyarakat awam tidak mampu mengesan pengkhianatan As-Saqqaf, maka contoh-contoh di atas sedikit sebanyak diharap dapat memberi kesedaran kepada mereka untuk lebih berwaspada terhadap pengkhianatan As-Saqqaf.


III. As-Saqqaf merupakan guru Al-Ghari yang menjadi tempat rujukan utama dan tempat pengambilan segala idea yang beliau lontarkan dalam semua buku dan kertas-kertas kerjanya. Justeru jika telah terbukti bahawa gurunya melakukan pengkhianatan, maka tidak hairanlah kenapa Al-Ghari juga melakukan sedemikian. Bak kata pepatah ‘guru kencing berdiri murid kencing berlari’.

No comments: