Isu Wahhabi sebenarnya telah lama dibangkitkan oleh media massa, malah beberapa bulan yang lepas, ' Majalah i' telah membangkitkan hal tersebut. Akan tetapi mungkin kali ini, tindakan Utusan menyiarkan isu Wahhabi merupakan langkah bijak. Sebab dengan itu masyarakat kita akan mengalami pembebasan minda dengan lebih pantas.
Saya teringat mengenai Muhammadisme di Eropah, atau dengan ketakutan yang tidak berasas terhadap Islam yang mereka namakan sebagai Islamphobia. Masyarakat Eropah menganggap bahawa Islam adalah agama yang menjadikan umatnya radikal, menganjurkan untuk meninggalkan dunia, sebagai sebuah tata-cara kehidupan yang jumud, agama yang menentang kemajuan dan tamaddun, dan hanya untuk anutan bangsa Timur. Lalu kerana itulah bangsa Eropah menjadi takut apabila berhadapan dengan agama Islam, seperti mereka melihat singa yang kelaparan. Sedangkan para cendiakawan mereka yang mengkaji agama Islam di universiti-universiti terkemuka, mengemukakan sebuah teori; bahawa Islam adalah ajaran yang diciptakan oleh Muhammad Bin Abdullah, lalu dinamakan sebagai Faham Muhammad - Muhammadisme. Kita tertanya-tanya; apakah cendiakawan Barat tidak mampu melihat Islam itu indah walaupun mereka mengkaji Islam dengan mendalam? Bagaimana mungkin para saintis Barat tidak melihat keajaiban al Quran sedangkan mereka mengkajinya?
Kemudian saya melihat ke Timur pula dan mendapat hal yang hampir sama berlaku. Di Iran, masyarakatnya yang menganut faham Syiah menganggap bahawa "Ahlus Sunnah" adalah golongan sesat, sehingga mereka menghalalkan darah kaum Ahlus Sunnah. Mereka juga mengatakan bahawa al Quran yang digunapakai oleh Ahlus Sunnah tidak lengkap - terdapat beberapa surah dikurangi atas alasan ta'sub mazhab. Begitu juga dengan shahihain [Shahih Bukhari dan Shahih Muslim] yang dikatakan mengandungi jalur periwayatan palsu. Lalu mereka menggunakan al Quran dan kitab-kitab hadith versi mereka sendiri. Kita tertanya-tanya; bagaimana mereka tidak menyedari bahawa ajaran mereka itu yang sebenarnya sesat, al Quran mereka yang ditambah-tambah dan hadith-hadith mereka yang diambil dari jalur yang lemah?
Lalu persoalannya ialah apakah keadaan "kekeliruan fakta" juga berlaku di kalangan agamawan Malaysia? Inilah yang harus kita perhatikan dengan saksama, agar kita tidak menjadi manusia yang dipantunkan oleh nenek moyang kita; "Pecah dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih". Kita tidak mahu menjadi pengkritik Barat dengan istilah "duble standart" terhadap kebenaran, sedangkan kita juga melakukan hal yang sama - mengkotak-katikkan kebenaran atas dasar ta'sub.
Amalan bid'ah yang dikatan baik [hasanah], diwajarkan atas "teori nilai" iaitu baik-baik belaka. Justeru apa kaedah yang dibangunkan untuk teori ini? Nilai yang baik itu bagaimana hendak diukur? Menggunakan aqli [akal] atau menggunakan naqli [nas]? Dan siapa pula pengukurnya? Ulama' mu'tabar yang mendalam ilmunya terhadap sunnah [hadith dan atsar] ataupun ulama' yang sedang-sedang saja ilmunya?
Cukup saya memberikan dua ucapan dari Ulama' Syafi'iyah, sebagai bukti bahawa Wahhabi adalah penerus perjuangan Imam Syafi'i, dan juga sebagai bukti bahawa masyarakat kita hari ini terkeluar dari Manhaj Imam Syafi'i. Dari sisi aqidah, Imam Syafi'i menetapkan bahawa Allah itu berada di atas ' Arys, sepertimana yang beliau dapati dari perkataan Ibn Mas'u; "'Arsy itu di atas air, sedang Allah di atas 'Arsy, tidak tersembunyi sesuatu pun atas-Nya dari perbuatan-perbuatanmu ". Lalu Imam Syafi'i berkata: "Kekhalifahan Abu Bakar as Sidiq adalah hak (benar), telah diputuskan oleh Allah Ta'ala dari atas Langit-Nya, yang terhimpuin atas-Nya hati hamba-hamba-Nya". Kemudian Imam al Baihaqi menguatkan dengan berkata dalam kitab al Asma' wa ash Sifat serta dinukilkan oleh al Hafiz dalam Fathul Bari seperti berikut: "Penyebutan dalil-dalil yang menerangkan istiwa'nya Allah Tabaraka wa Ta'ala di atas 'Arsy-Nya, dan juga atsar-atsar yang berasal dari kalangan salaf yang memiliki pengertian seperti ini cukup banyak jumlahnya, dan jalan ini menunjukkan kepada mazhab asy Syafi'i ".
Mengenai pembacaan al Quran kepada mayat, maka Imam as Subki telah berkata dalam Takmilatul Majmu' Syarah Muhadzab; "Adapun bacaan al Quran dan mengirimkan pahalanya untuk mayit dan mengganti solatnya mayit dan sebagainya, menurut Imam Syafi'i dan jumhur ulama' adalah tidak sampai kepada mayit yang dikirim, dan keterangan seperti ini telah diulang-ulang oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya Syarah Muslim ".
Andai dalam bidang fiqh kita telah menyelisihi Imam Syafi'i, mana sudah pasti dalam sudut aqidah kita jauh terpisah dengan sang Imam, walaupun kita berteriak di atas mimbar sebagai seorang Syafi'iyah atau Ahlus Sunnah . Justeru buktikanlah bahawa kita sebagai pengikut Imam Syafi'i dan "Ahlus Sunnah Wal Jamaah" yang sejati!
Untuk menghukumi Wahhabi, atau sesiapa sahaja yang menyelisihi kebiasaan; maka yang teramat penting ialah menguasai isu perselisihan dengan mendalami sumber bagi kedua-dua pihak. Kemudian berlaku adillah atas semangat kebenaran, kerana kita ini mencari kebenaran. Andai kebenaran itu muncul maka terimalah walaupun dari seorang yang dibenci; sebagaimana Abu Hurairah menerima petikan ayat Kursi dari Iblis. Seandainya enggan menerima kebenaran [kerana hidayah itu milik Allah] maka terimalah sebagaimana bapa saudara Nabi melindungi Nabi walaupun dia tidak memeluk Islam.
catatan:
[Wednesday, 7 December 2005]
Tuesday, November 13, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment